BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday 4 January 2013


Mengambil keputusan menyusuri jalan dakwah penuh cabaran, bukan suatu keputusan yang datang dalam keadaan senda gurau untuk bermain-main dan mencuba-cuba. Kewajipan dakwah adalah satu hakikat dalam kehidupan seorang muslim, untuk mengislahkan manusia, dan juga menyeru manusia untuk kembali kepada Allah.
Sepertimana iman, dakwah seorang daei juga berada dalam marhalah (tingkatan) tertentu. Setiap daei mungkin menjalani marhalah-marhalah dakwah ini dalam kehidupannya, bergerak dari satu peringkat dakwah ke peringkat yang lebih tinggi. Senantiasa sang dae'I membaiki diri, metod dan pendekatan dakwahnya. Marhalah dakwah ini boleh kita ibaratkan seperti langkah-langkah kehidupan seorang bayi yang menjalani tumbesaran hidup dengan ceria dan kesungguhan.
Meniarap : Kecil-Kecilan
Mungkin seorang pendakwah itu bermula dengan dakwah secara kecil-kecilan. Menegur ala kadar apa yang tidak enak dimatanya. Mula menegur orang-orang yang dirasakan lebih lemah darinya seperti adik-adiknya sendiri, isterinya atau orang yang berada dibawahnya. Melalui teguran-teguran itulah, dia membina keyakinan untuk menapaki usaha dakwah ke peringkat lain.
Ibarat bayi yang baru mengenal dunia, begitulah dae'i yang baru mengerti kehidupan seorang pendakwah. Bermula dengan rendah diri, dengan wajah sentiasa tertiarap ke bawah. Masih berkira-kira layakkah aku menggalas beban ini sedangkan beban dosa menggunung tinggi. Meniarap sang daei adalah tanda kerendahan hati, namun meniarapnya dia bukan tanda kekalahan bahkan sebuah permualaan kepada sebuah kebangkitan.
Duduk : Meredah Medan Maya
Ada juga dari kita yang mula dengan berdakwah di medan maya. Lebih gemar menggunakan identiti –identiti 'anonymous' supaya tidak dikenali, maka kita mula menghasilkan artikel-artikel yang menyeru kepada kebaikan. Kita juga kerap menghantar bahan-bahan berfaedah melalui Email, Facebook, YM dan sebagainya.
Pernah sekali, masih teringat seorang sahabat yang setiap hari menghantar sepotong hadith atau ayat al-quran di YM, kalau tidak pun pesanan-pesanan lain. Jika berkesempatan saya membacanya, jika serabut cepat-cepat saya memadamkannya dan akan membacanya pada masa terluang.
Namun, begitulah usaha dakwah kita. Tidak susah sebenarnya untuk melakukan dakwah dalam bentuk ini. Tambahan pula fenomena Facebook dan YM sangat dekat di hati masyarakat dan anak muda. Maka kesempatan itu harus diambil sewajarnya. Duduk sahaja di hadapan laptop dan komputer, kerjanya memang mudah sekali. Namun tumbesaran sebagai dae'i tidak terhenti di sebalik kemudahan itu. Duduk seorang daei' memikirkan idea dan strategi, duduknya seorang daie, cuba menghurai masalah ummah. Duduknya cermat dengan akhlak dan budi.
Merangkak : ABC
Kemudian, ada juga dari kita yang sudah bersedia untuk bergerak ke peringkat yang lebih tinggi setelah lama selesa menguasai lapangan dakwah maya. Maka kita bergerak dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang menyeru kepada kebaikan. Kita menggiatkan tamrin, program kerohanian, kem ibadah dan memperkasakan usrah. Usaha penganjuran aktiviti ini pastilah lebih susah kerana sudah pasti pelbagai cabaran perlu ditempuhi. Menganjurkan satu program bukanlah semudah ABC, namun memerlukan Azam, Bekalan (ilmu) dan Cekal dalam mengharungi setiap ujian yang mendatang. Ianya perlu jua kepada semangat yang sentiasa berkobar-kobar dalam sesuatu penganjuran yang ada. Barulah ianya sentiasa 'hidup' walaupun beribu rintangan yang menghalang.
Merangkak mungkin mengambil masa untuk sampai ke destinasinya, namun, di saat itulah kita mula melatih kesabaran diri, bekalan untuk menempuh sebuah perjuangan yang masih jauh. Merangkak menuju kepada sebuah cita-cita yang panjang, walau payah akan terus gagah.

0 comments: